Monday, March 25, 2013

Ombak Bergelora (Turbulent Waves)

Episode 1

Bunyi enjin kapal terbang membingitkan telinga. Farah melihat luar tingkap dan tersenyum sendiri. Dia tidak pernah termimpi pun hari ini akan tiba. Dia terasa tangannya digenggam erat, dan dia pusing ke arah suaminya sambil tersenyum lebar. Zarif tersenyum kembali, dan pada ketika itu mereka sangat bahagia. Sedikit pun tidak terlintas di kepala mereka bahawa kebahagiaan ini tidak akan kekal lama, kerana tragedi bakal melanda...

Setibanya di lapangan terbang, kawan rapat Farah, Bessima sudah sedia menunggu ketibaan mereka. Bessima dan Farah telah berkawan rapat sejak zaman universiti di Nottingham lagi, dan mereka juga pernah duduk serumah. Bessima juga kenal Zarif, dan mereka bertiga telah mengaji di universiti yang sama. Selepas tamat pengajian, mereka masih mengekalkan hubungan rapat mereka. Sebenarnya, Bessima yang mencadangkan kepada Farah dan Zarif untuk berbulan madu di Sabah, kerana Bessima anak tulen Sabah yang amat bangga dengan kecantikan alam semulajadi Negeri di bawah Bayu. Farah amat gembira kerana dapat berjumpa dengan kawan lama sambil menikmati bulan madu yang romantik di Pulau Mamutik, dan Zarif juga lega kerana Bessima telah membantu mereka menguruskan segala pengangkutan dan penginapan mereka.

Dalam perjalanan ke jeti, mereka bertiga rancak bercerita tentang kisah masing-masing, termasuklah tentang kisah perkahwinan Farah dan Zarif. Sebenarnya, Farah berasa sedikit kekok bercerita tentang dia dan Zarif, kerana Farah tahu bahawa ketika di universiti dulu, Bessima pernah suka pada Zarif. Sebelum menerima pinangan Zarif dulu, Farah pernah bertanya pada Bessima tentang perasaannya pada Zarif, kerana khuatir akan dibenci oleh kawan baiknya. Namun Bessima hanya tergelak, dan berkata: "Alahai, itu cerita lama, Farah. I dah lama over dia, okay?"  Pada mulanya Farah tidak percaya akan kata-kata Bessima, tetapi setelah melihat betapa gembiranya dia ketika meraikan perkahwinan Farah dan Zarif, serta melihat Bessima bertunang dengan lelaki lain, Farah semakin lega dan percaya bahawa Bessima sudah tidak menyimpan perasaan apa-apa pada Zarif.

Tetapi, apakah itu benar?

Nantikan episod seterusnya...


No comments:

Post a Comment